Topik 2: Tabiat Perbelanjaan Bijak
Tabiat Perbelanjaan Bijak
BNM Household Expenditure Report (2024) menunjukkan rakyat Malaysia berbelanja purata RM180 sebulan hanya untuk makan luar & minuman premium. Kalau dapat kurangkan separuh, anda sudah ada RM90 lebih yang boleh digunakan untuk servis motor atau simpanan.
Duit masuk, duit keluar – tapi kenapa rasa macam tak pernah cukup? Jawapannya mungkin bukan pada gaji anda, tapi cara anda belanja.
Tip 1: Utamakan Bayaran Secara Tunai
Apabila anda guna tunai, anda secara fizikal nampak duit keluar dari dompet. Ini menjadikan kita lebih berhati-hati berbelanja berbanding bila guna e-wallet atau kad, yang kadang-kadang buat kita ‘terlupa’ duit sedang berkurang. Contoh: bila bayar RM15 tunai untuk makan, anda rasa betul-betul nilai RM15 itu, berbanding hanya “scan dan tap” tanpa rasa kehilangan.
Tip 2: Sediakan Senarai Sebelum Membeli
Senarai barang bantu anda fokus kepada keperluan, bukan kehendak. Bila pergi kedai tanpa senarai, kita mudah tergoda beli benda yang tak dirancang, contohnya jajan, air manis, atau barang promosi. Ini punca duit ‘bocor’ secara halus. Tulis senarai barang sebelum keluar rumah, dan bertegas untuk ikut senarai sahaja.
Tip 3: Tapis Setiap Pembelian
Sentiasa tanya diri sebelum membuat pembelian: “Adakah ini bantu saya untuk hidup, menyimpan atau menjana pendapatan?” Jika jawapan anda tidak, itu tanda belanja tersebut tidak penting dan boleh ditangguhkan.
- Makan tengah hari? Ya – bantu untuk hidup.
- Minum kopi mahal jenama popular? Tidak – hanya kehendak.
- Beli minyak hitam motor? Ya – penting untuk kerja dan keselamatan.
- Beli aksesori motor yang tak perlu? Tangguhkan dahulu.
