Bahagian 3: Undang-Undang Berkaitan Tingkah Laku

Akta-akta yang perlu dipatuhi oleh warganegara Malaysia dan juga seluruh pengguna sosial:
- Akta Komunikasi & Multimedia 1998 (Seksyen 233) – Melarang perkongsian kandungan palsu, lucah, atau mengancam.
- Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 – Lindungi maklumat peribadi, termasuk maklumat pelanggan.
- Kanun Keseksaan Seksyen 499 (Fitnah) – Memfitnah orang secara dalam talian boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Akta Komunikasi & Multimedia 1998 (Seksyen 233)
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah undang-undang utama di Malaysia yang mengawal selia hal berkaitan komunikasi dan multimedia, termasuk internet, telefon, radio dan televisyen. Seksyen ini digunakan untuk mengawal penyalahgunaan internet dan media sosial, khususnya terhadap perbuatan menghantar atau berkongsi kandungan yang tidak sesuai.
Seseorang melakukan kesalahan jika menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar — seperti menghantar, mencipta, memulakan atau menyebarkan komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya, dengan niat untuk mengganggu, menyusahkan, mengugut atau menganiaya orang lain.
Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010
PDPA ialah undang-undang yang melindungi maklumat peribadi individu yang dikumpul oleh organisasi atau syarikat, termasuk maklumat pelanggan.
Apa Itu Data Peribadi? Data peribadi merujuk kepada sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti individu, contohnya:
- Nama penuh
- Nombor kad pengenalan
- Nombor telefon
- Alamat rumah
- E-mel
- Gambar atau rakaman suara
- Maklumat lokasi atau penghantaran
Apakah Larangannya? Syarikat atau pekerja TIDAK BOLEH: menggunakan data pelanggan tanpa kebenaran, berkongsi nombor telefon atau alamat pelanggan kepada pihak luar, atau mendedahkan gambar pelanggan atau rumah mereka di media sosial.
7 Prinsip Perlindungan Data Peribadi
- Prinsip Notis & Pilihan — Pelanggan mesti diberitahu data mereka akan digunakan.
- Prinsip Tujuan — Data hanya boleh digunakan untuk tujuan yang dinyatakan (cth: penghantaran).
- Prinsip Had Penggunaan — Tak boleh guna data untuk tujuan lain.
- Prinsip Keselamatan — Data perlu disimpan dengan selamat.
- Prinsip Integriti Data — Data mestilah tepat dan terkini.
- Prinsip Akses — Individu berhak tahu dan minta salinan datanya.
- Prinsip Penyimpanan — Data tidak boleh disimpan lebih lama daripada yang perlu.
Hukuman: Jika sabit kesalahan di bawah PDPA — denda hingga RM300,000, penjara hingga 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kanun Keseksaan Seksyen 499 & 500 (Fitnah)
Dalam konteks undang-undang Malaysia, fitnah merujuk kepada perbuatan menuduh atau menyebarkan sesuatu yang tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah seseorang.
Seksyen 499 – Fitnah (Defamation): Fitnah berlaku apabila seseorang membuat kenyataan bertulis atau lisan, yang tidak benar atau tidak dapat dibuktikan benar, dan kenyataan itu boleh mencemarkan nama baik seseorang atau syarikat.
Seksyen 500 – Hukuman untuk Fitnah: Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara sehingga 2 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
